TOP

PROGRAM SEMPENA CUTI SEKOLAH 2012

Sempena cuti sekolah, R.K.MANAGEMENT and SERVICES dengan kerjasama Masjid Ikhwanul, Islam, Taman Sukma, Masjid al-Muhajirin, Matang Jaya dan Masjid Darul Husni Warrahmah, Taman Hussein akan mengadakan program menghafaz al-Quran untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.


Tempat:

Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, Kuching Sarawak.
Masjid al-Muhajirin, Matang Jaya, Kuching Sarawak.
Masjid Darul Husni Warrahmah, Taman Hussein, Kuching Sarawak.

Tempoh Program:
12 November 2012 hingga 16 Disember 2012
(Program menghafaz akan dilaksanakan setiap hari Isnin hingga Jumaat sahaja selama 5 minggu)

Masa :
8.00 pg – 12.30 tgh hari (Isnin-Khamis)
8.00 pg – 11.30 pg (Jumaat)

Peserta:
Pelajar Tahun 1 hingga 6
Pelajar Tingkatan 1-5
(Terhad kepada 100 orang peserta setiap masjid)

Pelaburan Ibu ayah:
RM 200 sahaja (purata RM 2 satu jam)
RM180 (pendaftaran berpasangan)

Syarat-syarat bagi yang berminat:
Boleh membaca Al-Quran dengan baik.
Lulus temuduga.
Sijil akan diberi.

*Hari pendaftaran (10 dan 11 November 2012-Ahad) akan dilaksanakan di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma pada jam 8.30 pagi.

Program menghafaz al-Quran akan dikendalikan oleh:
Madrasah Tahfiz al-Quran Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma

Untuk pendaftaran mohon hubungi kami:
Saudara Abdul Razak Bin Bahtrem 019 848 7955
Ustaz Tarmizi 013 849 0028

* Hasil perbincangan dengan pihak madrasah, pihak kami bersetuju untuk menerima pelajar IQRA. Mereka akan dilatih oleh sekumpulan para penghufaz. InsyaALLAH.
 

Pendaftaran online: https://docs.google.com/spreadsheet/viewform?formkey=dGNCN1VTZ3RRLS1KcjNfMXdiUFlCeVE6MQ
TOP

RUNDINGAN

Semasa urusan bisnes atau rundingan dilaksanakan antara dua pihak, adalah lebih baik mengetahui sejarah dan latarbelakang pihak yang satu lagi. Lakukan kajian bagi memastikan agar objektif rundingan tercapai. Dua perkara yang perlu dititikbertakan iaitu sebelum rundingan dan semasa rundingan.



Sebelum rundingan:
  • Lakukan persediaan yang teliti serta menyeluruh. Kita perlu faham dan mengetahui dengan siapa kita berunding. Mengkaji setiap teknik dan strategi adalah penting untuk kita berunding dengan mereka. Ingat! Bukan menjatuhkan pihak yang satu lagi. Dengan mengetahui strategi mereka, maka kita dapat menyesuaikan strategi dan teknik dengan isu atau perkara yang diketengahkan oleh mereka. Rundingan adalah mencari jalan penyelesaian dan bukannya perbalahan.

Semasa rundingan:
  • Timbulkan suasana yang kondusif dan mesra. Apabila ada pendapat yang mahu dikemukakan oleh pihak yang satu lagi, seeloknya kita berindak untuk mendengar. Teliti setiap apa yang mahu diperkatakan. Ini adalah usaha kita membina suasana yang kondusif agar mereka tidak tertekan dengan rundingan yang sedang berlangsung. Sekiranya keadaan ini dikekalkan, mereka akan merasa dihargai dan dihormati. Dengan tindakan kita itu, akan membuatkan mereka melakukan perkara yang sama. 

TOP

Bisnes dan Penyelesaian

Memilih atau dipilih, keputusan tetap di tangan kita. Mahukan bisnes yang mantap, itu pilihan kita. Mahukan sebaliknya, itupun pilihan kita. 
Pilihan adalah atas diri kita dan bukan orang lain. Pilihan yang bijak akan mendatangkan hasil. Kita perlu tahu bahawa setiap masalah itu ada jalan penyelesaian dan ... 


"Setiap penyelesaian itu bermula daripada SAYA!"

Ya ... kita! Sebab itu apa yang kita lakukan cepat-cepat tuding jari ke arah sendiri. Salah saya! Konsep menyalahkan 'diri sendiri' membuatkan kita lebih berhati-hati pada masa hadapan. Semakin kita menuding jari ke arah orang lain, semakin itu kita tidak menjumpai jalan penyelesaian. Petua berbisnes mencari sebab atau punca kenapa produk atau perkhidmatan kita tidak di'layan' oleh pelanggan. Cari salah pada produk atau perkhidmatan kita. Bukan cari kesalahan pelanggan. Pelanggan tidak bersalah. Mereka ialah bos kita! Permintaan bos kenalah dipenuhi. Namun apabila kita mahu menolak pendapat atau pandangan mereka, ubahkan kepada memberi cadangan kepada mereka. Buatkan pelanggan selesa dengan kita. Elakkan memberi tekanan kepada pelanggan. Hilang seorang pelanggan membolehkan kita kehilangan pelanggan yang seterusnya.
TOP

Tip #04: Bisnes Mesti Ada Matlamat dan Tindakan

Semasa di bangku sekolah, kita telahpun didedahkan dengan matlamat. Kita diberikan satu kertas untuk menulis matlamat. Dengan semangat dan jelas kita menulisnya. Matlamatnya hanya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Tersenyum apabila mengenangkan balik peristiwa silam. Apakah kita tahu bahawa matlamat itu memainkan peranan yang sangat besar dalam hidup?


  • Matlamat adalah destinasi kita. Matlamat memandu kita ke arah cita-cita. Matlamat bukan hanya di kertas. Matlamat itu perlu dilaksanakan. Matlamat boleh terbahagi kepada dua iaitu matlamat jangka masa pendek dan matlamat jangka masa panjang. Kedua-duanya memberi momentum yang ‘dahsyat’ dalam hidup kita. Orang yang bermatlamat adalah lebih baik daripada mereka yang tidak ada matlamat langsung. Pernahkah kita mencapai sesuatu yang kita impikan? Bukankah seronok apabila dapat mengecapinya. Matlamat membolehkan impian dan cita-cita kita tercapai. 


Namun ada syaratnya. Syaratnya bertindak-lah! Ini dinamakan kuasa bertindak. 
'The Power of Action!' 

Kita mahu menjadi orang ‘cakap serupa bikin’. Bukan sebaliknya. Itu hangat-hangat tahi ayam namanya. Matlamat boleh dipelajari. Senang untuk dilaksanakan. Kuasa bertindak menjadikan matlamat itu kenyataan. Pengalaman saya berjumpa dengan mereka yang terlibat dengan bisnes setelah sekian lama mendapati kalangan mereka mempunyai cita-cita yang sangat tinggi. Mereka jelas dengan matlamat hidup mereka. Biar apapun orang kata, mereka tidak endahkan. Kehidupan kita menjadi lebih jelas dengan matlamat. Sebab itu matlamat membezakan kita ada prinsip hidup ataupun tidak. Sebagai Islam, kita ada matlamat mahu mencapai redha Allah. Namun perlu juga ada matlamat ketika hidup ini. Dunia kita mahu, akhirat pun mahu.
TOP

Tip #03: Tidak Mudah Menyerah Kalah

Perlawanan akhir badminton, Piala Uber 2012 antara Wang YiHan (China) dan Sung Ji Hyun (Korea) cukup hebat dan menarik perhatian saya. Satu analogi yang sesuai untuk bisnes. Tidak mudah menyerah kalah. Kemenangan berpihak kepada China. Pada set yang pertama China terpaksa tunduk kepada Korea namun kembali bangkit pada set yang kedua. Perkara yang menarik, Korea terlebih dahulu mendahului China dengan 'match point' 16. Ketika ini kesilapan yang akan dilakukan oleh China akan membuat China kalah. Akan tetapi dengan kepercayaan dan semangat yang ditunjuk dan dibuktikan, China mengejar mata dari poin ke poin dan akhirnya 'deuce'. Bayangkan bagaimana seseorang yang mengalami 'tekanan' bangkit untuk menyamai kedudukan. Di akhir set kedua itu, kemenangan diperolehi ke atas China. Pada set ketiga, sekali lagi China telah membuktikan bahawa dia sedang bangkit dan mencapai kemenangan. Set ketiga China MENANG!!!
Wang Yihan (China)
Inilah yang dikatakan tidak mudah menyerah kalah. Dalam bisnes apabila bisnes kita dikatakan 'nyawa-nyawa ikan', usah menyerah kalah. Rehatkan diri dan minda, cari jalan penyelesaian. 'Tekanan' itu penting dalam bisnes. Tekanan akan membuatkan kita keluar daripada zon selesa. Hati yang patah dan berputus asa sama sekali tidak akan wujud apabila ada tindakan ke atas tekanan. Analogi di atas bukan hanya berdasarkan perlawanan badminton sahaja. Ambil contoh negara China itu sendiri. Mereka bangkit dari sebuah negara yanag tida ada apa-apa menjadi negara industri pengeluar yang terbesar. Itulah kebangkitan China tanpa mengenal putus asa. Kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia bisnes, USAH berputus asa. Perjalanan masih jauh. Pengalaman saya sendiri menjalankan tiga bisnes menemui jalan kegagalan. Antara bisnes yang pernah saya ceburi; supply fibre tank, supply laptop dan pengeluar baja organik. Ketiga-tiga bisnes tersebut menemui jalan 'kegagalan'. Namun kegagalan itu rupanya menjadi langkah saya pertama untuk mewujudkan bisnes yang ada pada hari ini iaitu R.K.MANAGEMENT and SERVICES dan KERETA SEWA.
TOP

Tip #02: Perkongsian Bisnes



Beberapa contoh perkongsian bisnes boleh dilakukan. Mari kita ambil contoh penyanyi terkenal Malaysia iaitu Ning Baizura, Sheila Hamzah dan Jacklyn Victor. Ambil konsep gabungan nyanyian mereka. Persembahan suara semakin mantap apabila ketiga-tiga suara digabungkan. Keserasian dan kerjasama yang diberikan oleh ketiga-tiga penyanyi itu menghasilkan paduan suara yang 'dahsyat'. Dalam bisnes pun begitu. Pastikan rakan kongsi ialah kalangan mereka yang bukan 'sleeping partner'. Berikan komitmen dan kerjasama yang penuh dalam urusan bisnes. Buatkan rakan kongsi kita mudah untuk melontarkan buah idea yang difikirkan memberi impak besar kepada bisnes kita. 


Pengalaman saya sendiri bekerjasama dengan sebuah syarikat kereta sewa memberi pulangan yang lumayan. Masih lagi dalam peringkat permulaan. Namun apabila kerjasama dan perkongsian yang wujud membolehkan saya mendapat pelanggan dengan cara yang mudah. Ketika merancang kerjasama dengan mana-mana pihak, pastikan ada 'hitam putih' bagi memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak. Pastikan kita tidak 'tamak' dengan keuntungan yang bakal diperolehi. Lakukan persetujuan antara kita dan rakan kongsi. Bak kata pepatah mat saleh, "Sharing is Caring." Dengan adanya perkongsian maka kita telahpun membina rangkaian bisnes yang ada. Menarik-kan?


Para pembaca boleh layari www.car-rental-kuching.com iaitu syarikat kereta sewa, Green Matrix Car Rental bawah pengurusan R.K.MANAGEMENT and SERVICES di Kuching, Sarawak.
TOP

Tip Bisnes #01: Fahami Bisnes



Bisnes yang mantap lahir daripada permintaan dan minat kita  yang mendalaman terhadapnya. Tidak kira apapun risikonya pasti ada jalan menghadapinya. Apabila mula-mula berbisnes kita sering mendapat kritikan dan kutukan darpada orang sekeliling. Itu adalah halangan. Halangan itu mungkin daripada kalangan keluarga kita sendiri. Namun apabila halangan itu datang daripada keluarga, beritahu dan terangkan kepada mereka hasrat dan cita-cita kita secara berhikmah. Bukan membalas balik kritikan mereka. Ingat! Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan ibu bapa. Ibu bapa yang faham dan redha dengan usaha anaknya mencapai cita-cita dalam bisnes pasti menemui kejayaan. Apabila kritikan itu daripada orang sekeliling pula terima sahaja. Usah membalas balik kritikan mereka. Membuktikan kemampuan kita kepada mereka adalah tidak perlu. Pembuktian itu hanya dibuktikan kepada diri sendiri sahaja. 



Risiko itu sumberi idea!

Risiko tidak dapat dihapuskan dan risiko boleh dikurangkan. Risiko merupakan medium untuk kita mencari jalan keluar. Bukan untuk dielak. Akan tetapi untuk dihadapi. Bukankah kegagalan itu adalah risiko? Namun kegagalan memberi kelebihan kepada kita untuk mencari alternatif penyelesaian sesuatu masalah. Bukan setakat jalan penyelesaian malah mendatangkan ilham. Apabila menerima kata-kata berunsur negatif, cepat-cepat tukarkan kepada kata-kata positif. Itu tidak boleh. Ini tidak boleh. Maka apa yang boleh? Kita yang mampu mengubahnya dan bukanya orang lain. Sebab itu orang yang cemerlang melihat risiko dan kritikan sebagai ejen perubahan. Ubahkan kepada peluang. Minat yang mendalam terhadap bisnes akan lebih mantap sekiranya kita berguru. Guru (mentor) ialah sumber ilmu. Mohon ilmu berguna daripada mereka. Pengalaman sepuluh tahun dapat disingkatkan menjadi sehari. Itulah pengalaman. Pengalaman mereka sangat berharga. 




Di samping itu, bagi memantapkan bisnes serta mengekal momentum motivasi bisnes, maka perlulah kita merapatkan diri dengan mereka yang berada dalam dunia bisnes. Jadikan mereka sebagai rakan dan sahabat. Dapatkan tip bisnes daripada mereka. Mereka juga ialah guru kita. Ilmu bisnes yang kita minat perlu dititikberatkan. Ilmu bisnes yang kita minat dan praktik menjadikan kita pakar dalam bidang yang kita ceburi. Jadikan kita pakar dalam bidang yang kita minat. Mungkin ramai yang mempunyai minat bisnes yang sama. Namun bina kelainan dalam bisnes. Lain daripada yang lain. Kelainanan akan membuatkan bisnes kita ‘melekat’ dalam fikiran pelanggan kita. Pandangan pertama sangat penting kepada pelanggan. Pandangan itu boleh jadi mengekalkan pelanggan kita atau sebaliknya. Ingat! Kelainan turut mendatangkan risiko. Pastikan dengan ilmu dan kemahiran yang ada, kita mampu mengatasi dan mengurangkan risiko yang ada. 

Kami suka!